Blogger Widgets

Pages

Monday, 10 June 2013

Farouq : Bulatkan Tekad



       Lieya duduk terpaku di dalam bilik seorang diri. Sekali-sekala jari-jemari menggaru kepalanya yang tidak gatal, matanya merenung ke arah telefon bimbit di atas katil, punggungnya pula mudah bertukar posisi. Tidak di kerusi, dia di atas katil. Tidak di atas katil, di atas lantai. Tidak duduk, dia berbaring. Kemudian dia berdiri, bermundar-mandir. Dia tak mampu untuk fikir apa-apa. Senyum  seorang gadis riang sepertinya tak mampu diukir dalam situasi sebegini. Keputusan Haji Malek sangat muktamad.

       Telefon berbunyi. Itulah panggilan yang Leya tunggu-tunggu sejak semalam.

“Hello, assalamualaikum,” suara lelaki di sebelah sana.

“Waalaikumussalam. Nazif,” suara Lieya menjawab dengan nada perlahan. “Nazif dah tahu kan?” tanya Lieya lagi.

“Sebab tu Nazif telefon Lieya ni. Betul ke?”

“Ya, Lieya tak tahu kenapa abah tiba-tiba buat keputusan macam tu.”

“Ok, relax. So, apa keputusan Lieya?”

“Lieya tak tahu.”


       Nazif. Dialah penghuni hati Lieya sejak setahun yang lepas. Nazif memang begini, dia suka bertutur lembut dan tak pernah mendesak, Nazif bekerja sebagai pemilik sebuah kedai kecil menjual telefon bimbit dan gajet. Semua itu hasil titik peluhnya sendiri. Naziflah satu-satunya lelaki yang ingin Lieya nikahi. Tidak seperti lelaki-lelaki lain, Lieya berkenalan dengan Nazif bukanlah kerana suka-suka atau sekadar ingin menghilangkan bosan. Sungguh Lieya sudah merangka perjalanan hidupnya dan ingin menjadi isteri Nazif sesudah tamatnya pembelajaran di Mesir. Bagi Lieya, sikap Nazif yang sangat mengambil berat dan bertanggungjawab itu sudah melayakkan dirinya menjadi seorang suami. Nazif hanya kurang pada satu aspek. Dia kurang didikan agama. Bukannya bermaksud Nazif mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim, tetapi tahap didikan agama yang sampai kepadanya tak setaraf pelajar sekolah agama. Sehingga sekarang Nazif berusaha memperbaiki kelemahannya itu.

“Nazif tahu kan Lieya nak sangat sambung belajar kat Mesir?”  

“Ya, Nazif tahu. Kat sana ada senior Lieya. Ain kan nama dia?”

“Hmm," Lieya mengiakan. “Semuanya ok je sampailah abah bukak mulut minggu lepas.”

“Nazif rasa ada sebab kenapa abah Lieya buat macam tu. Lieya kan anak tunggal. Lieya tak ada muhrim dekat sana. Sebab tu abah Lieya risaukan Lieya.”

“Bukan muhrim. Mahramlah.”

“Oh, lain ye?”

“Lieya tahu dia risaukan Lieya. Tapi kenapa tiba-tiba?” sambung Lieya.

“Walau macam mana sekalipun, Nazif percaya abah Lieya buat semua ni untuk kebaikan Lieya.”

“Nazif menyebelahkan abah ke?”

       Minggu lepas Haji Malek tiba-tiba bersuara. Dia sayangkan anak tunggalnya itu. Kalau boleh dia tak mahu anaknya belajar di Mesir kerana jaraknya beribu batu. Tapi apakan daya, anak manjanya itu berkeras juga hendak ke sana. Haji Malek tiada sebarang alasan atau hujah untuk menghalang niat anak perempuannya itu. Setelah berbincang dan bertanya pendapat kepada saudara-mara dan ustaz ustazah lepasan Mesir, barulah Haji Malek sedikit longgar dalam memberikan pelepasan kepada anaknya. Tetapi, longgarnya pelepasan itu bukanlah bermakna dia tidak lagi sayangkan Lieya.

“Abah benarkan Lieya belajar di Mesir. Tapi dengan syarat, Lieya kena bernikah dengan orang yang belajar di sana,” kali terakhir Haji Malek setegas ini hanyalah sebelum Lieya menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

“Kalau Lieya tak mampu cari calon suami, abah dan mak yang akan carikan. Sekarang terpulang kepada Lieya sama ada nak belajar di Malaysia ataupun Mesir.”

       Lieya tidak bertegur dengan orang tuanya semenjak itu. Dia hanya berkurung di dalam bilik yang berkunci. bila di panggil tidak bersahut. Kadang-kadang kedengaran suara Lieya menangis kecil di tengah malam. Haji Malek kasihankan keadaan Lieya. Tapi dia tetap berkeras dengan keputusannya. Ini tidak lain adalah untuk kebaikan anak kesayangannya itu.

“Nazif tak menyebelah abah Lieya. Jauh pulak untuk menyalahkan dia. Dia lebih arif,” Nazif menyambung perbualan mereka, “Nazif tak ambil hatilah, Lieya. Nazif tahu memang impian Lieya nak ke sana. Buat apa abaikan niat yang baik semata-mata untuk sesuatu yang tak pasti?”

“Tapi..”

“Lieya jugak yang bagitahu Nazif dulu.,” pantas Nazif mencatas percakapan Lieya,” Allah tak bagi kita sesuatu yang kita nak. Allah hanya bagi kita apa yang kita perlu,”

       Lieya terdiam. Dia seakan-akan terlupa dengan apa yang pernah dia katakan dulu.

“Tak semestinya benda yang kita suka itu ialah benda yang terbaik untuk kita kan? Boleh jadi ini yang terbaik walaupun pahit untuk kita berdua.”

       Sekali lagi Nazif memperingat kata-kata yang pernah Lieya ucapkan. Nazif seorang yang optimis dengan aturan Allah. Tak pernah lagi dia berputus asa dan berprasangka buruk meskipun banyak dugaan yang dia hadapi selama bergelar pelajar mahupun setelah menerajui sebuah perniagaan. Kadang-kadang Lieya merasakan Nazif seratus kali lebih baik berbanding lambakan pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz di Malaysia. Ramai antara mereka yang tidak mempraktikkan gaya hidup dan gaya berfikir seorang muslim.

       Nazif menarik nafas.

       Lieya kini kaku.

“Lieya, sehebat mana sayang kita, sekuat mana kita bertahan, sejauh mana perkenalan kita dan...”

“Cukup Nazif. Berhenti,” pinta Lieya, perlahan. Kemudiannya dia menangis. Tangisan yang entah kali ke berapa dalam minggu ini.

       Lieya mula sedar. Kini dialah cerminan kepada ribuan pelajar yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Mereka hanya tahu bercakap, tapi tak mampu melaksana. Mereka suka menenangkan orang lain dengan kata-kata manis dan petikan Hadith dan Al-Quran, tapi apabila mereka tersungkur jatuh di situasi ini, merekalah yang pertama mengalah.

       Lieya terus menangis. Menangis kerana dia hipokrit, dan juga kerana dia terlalu sayangkan Nazif.

“Eh, kenapa Lieya menangis ni?”

       Tiada balas.

“Kenapa Lieya suruh Nazif berhenti?”

“Se.. sebab Lieya dah..dah.. tahu apa ya..ya.. yang Nazif nak cakap,” jawab Lieya sambil tersedu-sedu.

“Kalau macam tu, cuba Lieya sambung.”

“Dan se.. se.. gagah mana hati menerima kele..kele.. kelemahan si dia, Allah juga lebih me..me.. mengetahui. Dan Allah lebih suka berikan yang ter..ter.. baik kepada makhluknya berbanding membiarkan si…si.. makhluk menentukan nasib mereka sendiri,” jawab Lieya tersangkut-sangkut cuba mengingat kembali apa yang pernah diucapkannya dulu. Juga tersangkut kerana dia masih dalam sedu tangis.

“Eh, tu bukan apa yang Nazif nak cakaplah. Buat malu je..”

“Habis tu?”

“Sebenarnya macam ni sambungan dia. Dan sepandai mana kita membuat kuih, semua itu tak bermakna kalau kita tak pernah merasa Oreo. Haha.”

       Lieya terdiam. Tak faham.

“Eh, tak lawak ke? Sorry. Ketawalah, ketawalah.”

       Lieya ketawa kecil.

“Haa, macam tu lah. Tak kan sebab benda kecil pun nak nangis. Kata girls run the world. Nazif nak Lieya teruskan niat Lieya untuk ke Mesir. Kuatkan diri ye. Allah ada.”

       Lieya mula bersikap positif. Dia kembali semangat. Kalau ujian hati sekecil ini tak dapat dia atasi, apakan lagi ujian yang lebih besar? Bagai mana pula ujian berjauhan dengan abah dan mak nanti? Ujian ialah pembina insan sebenarnya.

“Nazif..”

“Ya..”

“Terima kasih.”

       Lieya kembali ingat akan adanya Allah. Dia sedar dia hamba yang sombong kerana hanya mengingati Sang Pencipta di kala duka sahaja. Tapi kini dia telah mula mengingati Allah. Benar, dengan mengingati Allah itu hati akan tenang. Benar, sesiapa sahaja mampu menjadi penyebab turunnya hidayah. Naziflah contoh penyebab turunnya hidayah Allah ketika ini.

       Inilah masanya untuk Lieya memberikan jawapan. Haji Malek inginkan jawapan daripada Lieya selewat-lewatnya esok dan jawapan inilah penentu masa depan Lieya. Dia perlu abaikan salah satu perkara yang amat dia sayang. Mesir ataupun Nazif. Keputusan Lieya kini sudah muktamad. Tak ada sesiapa lagi yang mampu menghalang niatnya itu. Bulatkan tekad, Lieya.

“Nazif..”

“Ya..”

“Lieya mintak maaf..”

Comments
2 Comments

2 comments: