Blogger Widgets

Pages

Sunday, 2 June 2013

Farouq : Perigi Mencari Timba



       Haziq seakan mahu menjerit. Sungguh, dia berasa sangat geram dan marah ketika ini. Dia duduk seorang diri di biliknya. Di hadapannya sebuah laptop Acer Aspire 5750 hadiah pemberian mama sempena keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM  pada tahun lepas. Di skrin Acer itu  terpapar tetingkap chat laman sosial facebook, antara dia dengan seorang perempuan ajnabi bernama Maysarah –  atau lebih tepat lagi Kak May. Beza umur mereka berdua ialah lima tahun, membuatkan Haziq lebih gemar menggelar Maysarah sebagai kakak. Kak May bukan perempuan pertama yang buat Haziq marah dua tiga hari ini, malahan ada lagi deretan gadis yang menegurnya di laman sosial itu baru-baru ini. Mereka bertanyakan tentang perkara yang sama berulang kali sehingga Haziq tak mampu lagi untuk melayan. Tapi Kak May terlalu baik untuk menerima hamburan kata-kata marah Haziq. Dialah perempuan mithali di mata Haziq. Tidak ada satu pun tingkah laku Kak May yang mampu mebuat Haziq berkecil hati ataupun marah di sepanjang perkenalan mereka selama lebih 16 tahun.

“Habis tu akak nak buat apa?” tanya Haziq secara rambang setelah dia diam sekejap.

“Akak tak tahulah Ziq,” ringkas Maysarah balas.

“Haziq pun tak boleh buat apa-apa, kak. Akak pun tak nak bagitahu Haziq awal-awal.”

“Hmm, Abang Umar balik sana bila? Lama jugak dia cuti ye?” tanya Maysarah sekadar untuk mengubah suasana keruh itu.

“Akak jangan tukar topik boleh tak?”

“Eh, Haziq marah ke? Chill lah. Bukan masalah besar pun.”


       Haziq berhenti menaip. Dia sangat hormat pada Kak May. Kak Maylah orang yang selalu prihatin terhadap perkembangan akademik Haziq. Haziq tak seperti Umar yang merupakan pelajar terbaik di Sekolah Menengah Agama Darul Abidin (SMADA) . Haziq perlukan kelas tambahan yang lebih untuk memahami sesuatu tajuk secara mendalam. Bukannya Haziq tak pandai, tapi daya pemahaman Haziq tak seperti Umar. Hampir setiap hujung minggu Maysarah berulang-alik dari Kuala Lipis ke Kluang dengan Myvinya semata-mata untuk mengajar Haziq subjek-subjek PMR, SMA dan SPM. Kalaulah bukan kerana ayah Maysarah dipindahkan ke Kuala Lipis empat tahun lalu, mungkin sekarang ini mereka masih berjiran.

       Maysarah manis orangnya, lembut tuturnya dan peramah. Maysarahlah yang ajar Haziq cara mengaplikasi pembelajaran adab dan ilmu Islam dalam kehidupan. Tak hairanlah Haziq lebih suka dididik oleh Maysarah berbanding guru-guru lain. Kini di SMADA, Haziq tak lagi dikenali hanya sebagai ‘adik Umar’ oleh guru-guru. Haziq kini sama dikenali seperti mana abangnya. Sepasang adik-beradik yang diingati dan menjadi bualan guru-guru di SMADA.

“Haziq?” Maysarah meneruskan perbualan facebook mereka.

“Haziq marah akak ke?”

       Haziq enggan membalas. Dia sedang buntu dengan situasi sekarang.

“Fatin?” Maysarah mengusik.

Hey, don’t you ever call me that!” pantas Haziq membalas.

“Hahaha, Reply pun. Ingatkan nak merajuk tadi.”

“Akak tak kisah ke?” Haziq kembali serius.

“Tak kisah apa?”

“Janganlah buat-buat pending.”

“Ahaha. Janganlah marah. Sejak bila Haziq jadi pemarah ni?” usik Maysarah lagi.

“Akak, Haziq betul-betul harap akaklah orangnya.”

       Tiada balas dari Maysarah.

“Haziq nak akak jadi kakak ipar Haziq,” pinta Haziq.

       Memang itu kehendak Haziq. Dia sangat suka untuk melihat satu-satunya abangnya itu menjadi suami kepada Maysarah. Mereka sepadan. Dua-dua baik dalam bertutur, bijak dan mahir selok-belok Islam. Umar sangat petah berbicara jika dia di pentas ilmiah Tetapi Umar lebih suka memilih untuk berdiam apabila di luar pentas itu. Maysarah dan Umar sudah lama berkenalan. Sejak kecil lagi. Mereka tiada masalah bermain bersama walaupun diskriminasi jantina diamalkan oleh sahabat-sahabat seusia mereka. Umar tua setahun sahaja berbanding Maysarah, tak hairanlah mereka mampu berkawan rapat hingga ke alam sekolah rendah. Tapi apabila mereka menjejak kaki ke alam sekolah menengah, masing-masing mengerti apa itu benteng kebal yang ditetapkan Islam. Haziq mahu benteng kebal itu diroboh dengan cara yang halal. 

       Haziq menatap gambar yang dia tampal di belakang pintu biliknya. Gambar Umar, Maysarah dan dua orang yang lain ketika menyertai pertandingan Bahas Bahasa Arab peringkat negeri.  Sayangnya mereka cuma mampu meraih tempat ke-2. Ketika itu Umar di tingkatan lima, Maysarah pula di tingkatan empat.

“Sekarang akak pulak yang diam, ha. Kenapa?”

“Akak betul-betul tak tahulah Ziq.”

“Kalau akak jawab betul-betul masa Haziq tanya dulu, benda ni tak kan jadi macam ni. Akak jawab pun main-main. Lepas tu kuat berdalih. Kenapa sekarang baru akak nak cakap kat Haziq pasal benda ni?” Hujan teguran mula memenuhi ruangan facebook messenger. Ini semua kerana marah terhadap gadis-gadis semalam belum reda.

“Tak baik berkalau-kalau, Ziq. Kan akak dan pernah pesan,” giliran Maysarah menegur Haziq. 

Sorry. Lupa pulak. Hehe. Kenapa akak baru nak bagitahu sekarang?” soalan itu masih belum hilang dari kotak fikiran Haziq.

“Akak seganlah Ziq.”

“Segan dengan Abang?”

“Segan dengan Abang Umar tu satu hal. Akak segan dengan pandangan masyarakat sebenarnya. Akak ingatkan nak tunggu Abang Umar sendiri cakap kat akak. Tak tahu pulak benda jadi macam ni.”

“Segan dengan masyarakat? Haziq tak faham.”

“Yelah, Nanti orang cakap akak ni perigi cari timba pulak. Akak tahu istilah tu tak boleh pakai. Tapi susah nak terangkan pada masyarakat.”

       Ya, masyarakat kita memang mudah berfikiran kolot begitu. Perempuan melamar lelaki dipanggil perigi mencari timba. Pasangan yang tak mampu mendatangkan zuriat dipanggil mandul dan menjadi satu keaiban. Si isteri dianggap membawa sial. Orang yang berani kehadapan di dalam kelas dianggap mengejar populariti. Rakan yang salah ketika mencuba digelakkan beramai-ramai. Haziq sendiri sudah muak dengan amalan hidup yang tak membina itu. Haziq teringat kata-kata Kak May, jika kita tak mampu untuk berevolusi ke arah lebih baik, jangan halang orang lain untuk berbuat demikian.

“Sebab seganlah akak jadi macam ni. Terlepas peluang kat depan mata,” hujan Haziq menimpa Maysarah lagi.

“Haziq janganlah marah akak. Akak pun buntu. Akak ingatkan Abang Umar ada perasaan kat akak. Akak tunggulah dia lamar akak. Tak tahu pulak dia tak ada apa-apa perasaan kat akak.”

“Siapa kata Abang Umar tak ada perasaan kat akak?”

“Eh, ye ke?” tanya Maysarah separuh teruja.

       Haziq mula menggelabah. Itu janji yang dia patrikan bersama Umar. Dia janji tak akan bagitahu sesiapa tentang perasaan Umar terhadap Maysarah.

“Haziq main teka je. Tak sangka pulak Akak teruja. Haha!”

“Nak kena budak ni!” Maysarah rasa terkena.

“Oklah kak, Haziq nak log out dulu. Dah sampai masa makan tengah hari.”

“Kirim salam kat mama ye. Dah lama akak tak jenguk dia.”

“Ok, kirim salam kat abah dengan ibu jugak. Abang Umar kata nak melawat abah dengan ibu sebelum dia balik ke Mesir.”

“Insyaallah, assalamualaikum”

“Waalaikumussalam.”

       Haziq termenung seketika. Haziq geram kerana  Kak May semakin jauh dari menjadi kakak iparnya yang mana dia rasa sangat sesuai untuk abang kesayangannya. Selain Kak May, ramai lagi yang bertanyakan tentang Umar. Khabarnya Umar akan bernikah sebelum pulang ke Mesir setelah tamat cuti semesternya. Haziq jadi tak tentu arah menjawab puluhan mesej dan email dari puluhan wanita pelbagai latar belakang. Kebanyakannya menunjukkan rasa ingin tahu yang mendalam. Itu tandanya mereka ada hati pada Umar. Ada yang bertanya untuk diri sendiri, ada juga yang mewakili sahabat dan sepupu.

       Kini ada tiga perkara yang membuat Haziq marah semenjak kebelakangan ini. Perkara pertama ialah alasan yang gadis-gadis itu gunakan. Kebanyakannya tak mahu menjadi perigi mencari timba. Pada pandangan mereka biarlah Umar yang tentukan jodohnya. Tetapi bila sampai masanya Umar ingin bernikah, semua menggelabah. Eh, bukankah Khadijah juga melamar Rasululullah? Di manakah datangnya keanehan apabila si gadis melamar si lelaki? Peribahasa inilah yang menyebabkan si perempuan terpaksa melihat lelaki yang dianggap mampu menjadi suami yang baik untuknya berkahwin dengan orang lain. Kak May pun turut menjadi mangsa peribahasa puaka ini. Pada hakikatnya, perigi mencari timba tak berdosa dan tak melanggar adat. Ianya hanya siulan masyarakat Melayu dahulu. Orang Melayu, memang suka kepada benda yang pelik, fikir Haziq.



       Perkara kedua yang membuatkan Haziq marah ialah kebanyakan mereka menyangka Haziq ialah adik perempuan Umar sedangkan dia dilahirkan sebagai lelaki maskulin. Mungkin kerana Haziq hanya menggunakan gambar ayahnya bersama Umar sebagai profil picture di facebook. Itulah dua tokoh yang dia sanjungi. Antara sebab lain adalah kerana nama yang digunakannya di facebook yang boleh menimbulkan kekeliruan ramai orang. Sungguh, Haziq menggunakan nama asalnya seperti mana yang tertera di kad pengenalannya. Dan namanya itu menimbulkan tanda tanya ramai orang. Kenapa mesti nama sebegini diberikan?

       Perkara akhir yang membuatkan Haziq marah dan tersangat marah ialah calon isteri Abang Umarnya. Bukannya dia tak kenal dengan Lieya atau nama panjangnya Alya Binti Haji Malek itu. Lieya ialah classmate Haziq selama tiga tahun berturut-turut di SMADA. Haziq boleh ceritakan perangai sebenar Alya bermula dari loceng pertama kelas hinggalah habis tamat waktu persekolahan. Lieya bukanlah yang terbaik untuk Abang Umar. Lieya memang seorang pelajar yang cerdik di SMADA malah menjadi musuh akademik nombor satu bagi Haziq. Tetapi Haziq tak suka dengan cara Lieya bersosial. Dia suka hidup berpasangan atau dalam istilah modennya, couple. Bukan seorang dua malahan belasan orang. Ada daripada mereka ialah rakan sekelas Haziq sendiri, ada pelajar junior dan ada juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mawar, sekolah yang letaknya bersebelahan dengan SMADA. Pernah dulu Lieya mempunyai tiga orang teman lelaki dalam satu masa. Ini semua dek kerana rupa paras Lieya dan telatahnya. Kekasih Lieya yang terbaru ialah seorang lelaki yang bekerja sebagai pemilik kedai telefon bimbit dan gadjet. Pokoknya, Haziq tak suka akan Lieya. Nak saja Haziq ceritakan satu persatu tentang Lieya kepada Abang Umarnya supaya dia tak berbiraskan perempuan seperti itu.

“Haziq, jom makan, nak,” kelihatan muka mama di muka pintu.

“Haziq nak tutup laptop ni kejap. Kak May kirim salam dekat ma.”

“Bilalah budak bertuah tu nak datang sini ya? Dah lama mama tak jumpa dia. Rindu pulak,” perlahan dan sayu suara Puan Aini apabila menyebut nama gadis manis itu.

“Eh, mama pergi dapur dululah. Farid belum bangun lagi dari qail, qiuwal? Eh susah betul nak menyebutnya,” sambung Puan Aini.

“Qailulahlah ma. Nanti Haziq pergi dapur.”

       Pintu bilik ditutup Puan Aini. Mata Haziq kini kembali terpaku kepada gambar Umar dan Maysarah. Impian itu semakin jauh, fikir Haziq. Dan ia menjadi semakin teruk kerana pengganti Kak May ialah Lieya. Haziq akan usahakan semampu yang boleh. Haziq tahu, Umar belum beri keputusan muktamad. Masih ada ruang dan harapan bagi Haziq. Dan harapan untuk Kak May sebenarnya.

“Fatin Haziq! Cepat makan. Nasi dah sejuk ni,” Puan Aini memanggil anaknya dengan nama penuh.

     Mama ialah satu-satunya orang yang boleh memanggil Haziq dengan nama Fatin. Kerana setiap kali mama menyebut Fatin, Haziq mendengarnya sebagai sesuatu yang indah. Haziq tersenyum  dan bingkas bangun menuju ke dapur.

***

Farouq I (Perigi Mencari Timba)
Farouq II

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment